MENARIK TENTANG BULAN SYAABAN

Subhanallah, bahang Ramadan kian terasa, tanpa sedar, sudah pun berganti bulan daripada Rejab ke Sya’ban. Syukur Alhamdulillah kepada Allah SWT kerana memberi nikmat, ruang dan peluang untuk meraikan kehadiran bulan Sya’ban. Semoga Allah memanjangkan usia kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan al-Mubarak pula, insyaAllah.
Dalam bulan Syaaban, terdapat banyak kejadian dan peristiwa yang harus diingati dan direnungkan bersama. Antara peritiswa istimewa adalah:

1. Kiblat Dipindahkan Dari Baitulmaqdis ke Kaabah
Peritiwa perpindahan kiblat dari Baitulmaqdis ke Kaabah di Mekah berlaku pada bulan ini iaitu pada tanggal 15 Syaaban.


Selepas peristiwa Hijrah, orang Islam solat menghadap ke arah Baitulmaqdis yang juga merupakan kiblat bagi kaum Yahudi. Kaum Yahudi menjadikan peluang ini sebagai cara untuk menghina umat Islam kerana masih menggunakan kiblat yang sama dengan mereka.
Namun, umat Islam tidak menghiraukan cercaan itu dan tetap teguh menunaikan perintah Allah. Tetapi Nabi Muhammad SAW tidak tergamak melihat umatnya dihina, lalu Baginda berdoa kepada Allah SWT agar memindahkan kiblat ke arah Kaabah. Lalu Allah SWT menjawab dalam firmanNya melalui surah al-Baqarah ayat 144:


“Kami melihat wajahmu (Muhammad) sering menengadah ke langit, maka akan Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) tahu, bahawa (pemindahan kiblat) itu adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang mereka kerjakan”
Mengikut para ulama, umat Islam hanya sempat menghadap kiblat ke arah Baitul Maqdis selama 17 bulan 3 hari. Ini kerana, Rasulullah SAW tiba di Madinah pada hari Isnin bersamaan 12 Rabiul Awal, kemudian Allah memerintahkan Baginda menghadap ke Kaabah pada hari Isnin pertengahan bulan Syaaban, sewaktu Baginda mendirikan solat Zohor.



2. Turunnya Ayat Al-Quran Untuk Berselawat
Pada bulan Syaaban juga, Allah SWT menurunkan ayat perintah membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam firmanNya;
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”
(al-Ahzab:56)
Oleh sebab ayat ini turun pada bulan Syaaban, sebahagian ulama menganjurkan agar umat Islam memperbanyakkan selawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW dalam bulan ini.

3. Ketetapan Wajib Berpuasa Di Bulan Ramadan
Kewajipan berpuasa bagi umat Islam di bulan Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah ditetapkan pada bulan Syaaban.

4. Pernikahan Rasulullah SAW Dengan Saidatina Hafsah binti Umar
Hafsah binti Umar merupakan bekas isteri kepada Khunais bin Hadafah yang meninggal sebaik sahaja pulang dari Perang Badar. Nabi Muhammad SAW menikahi Hafsah pada Syaaban tahun ke-3 Hijrah.

5. Perang Badar Kedua (as-Sughra)
Ketika Perang Uhud, Abu Sufyan berkata kepada orang Islam bahawa mereka akan kembali menyerang di Badar pada tahun hadapan. Rasulullah SAW bersama-sama 1500 orang sahabat yang terdiri daripada 10 orang pahlawan berkuda datang menanti kedatangan orang Musyrik di Badar pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah.
Namun, Abu Sufyan bersama 2,000 orang tentera dan 50 orang pasukan berkuda berhenti di pertengahan jalan, kemudian kembali ke Mekah kerana Abu Sufyan berasakan pada tahun tersebut akan berlaku kemarau.
Tentera Islam menunggu selama lapan hari sebelum kembali ke Madinah tanpa sebarang peperangan yang berlaku.

6. Peristiwa al-Ifki
Peristiwa al-Ifki adalah peristiwa fitnah tentang kecurangan Saidatina Aisyah dengan Safwan bin Mu’aththa yang disampaikan oleh Abdullah bin Ubay.
Peristiwa ini berlaku selepas Perang Bani Mustaliq iaitu pada tahun ke-6 Hijrah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat 11-13 surah an-Nur yang menjelaskan bahawa Saidatina Aisyah difitnah dan tidak melakukan perbuatan yang dituduh itu.08:14 PM

7. Peristiwa Nahrawan
Peristiwa ini bermula daripada terpecahnya pengikut Ali bin Abi Talib menjadi kelompok Syiah dan kelompok Khawarij. Dalam peristiwa ini, Ali bin Abi Talib telah menang dalam pertempuran namun Muawiyah mengangkat al-Quran sebagai tanda berdamai.

8. Perampasan Baitul Maqdis
Dalam Perang Salib Pertama, tentera Kristian berjaya merampas Baitul Maqdis daripada umat Islam dan menduduki kota itu, iaitu pada 13 Syaaban 492 Hijrah iaitu dalam tahun 1099 Masihi. Namun beberapa puluh tahun kemudian kota itu berjaya dimilik oleh umat Islam semula.
Selain daripada peristiwa yang dinyatakan, terdapat peristiwa lain yang berlaku dalam bulan Syaaban ini; iaitu kewafatan Sayyidah Ummu Kultsum, puteri Rasulullah SAW dan kewafatan salah seorang isteri Baginda yang bernama Hafsah binti Umar Ibn Khathab RA.
Semoga setiap umat Islam mengambil pengajaran dan hikmah daripada setiap peristiwa yang berlaku dalam bulan Syaaban ini. Salah satunya adalah dengan memperbaiki diri dan peribadi dengan melakukan kebaikan yang membawa manfaat kepada diri sendiri dan ummah.

Semoga setiap amalan dan usaha kita diterima oleh Allah.

Bulan Syaaban: Peristiwa dan Keistimewaannya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *