Kelebihan Berpuasa 6 Hari di Bulan Syawal

Ramadan adalah perjalanan terbaik seseorang yang mencari keredhaan illahi, tetapi istiqamah dengan amal dan ibadah sesudahnya, merupakan suatu cabaran yang perlu dilalui dengan sebenar-benar kesungguhan.

Di penghujung ramadan, kebiasaanya jiwa seorang mukmin yang mencari ganjarannya menjadi semakin lebih suci. Malam-malam terakhirnya dipenuhi dengan ibadah-ibadah qiamullail, menjauhi tilam-tilam empuk, mendekati rumah Allah dan beriktikaf, mulut yang sentiasa dipenuhi dengan bacaan Al-Quran dan zikirullah, puasanya semakin mengesani seluruh gerak geri tubuh dan hatinya.

Alhamdulillah, kita baru sahaja menyambut hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri setelah berpuasa sebulan Ramadhan. Setelah seminggu berhari raya, sudah ramai antara kita yang mula berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Antara kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal ini adalah seperti Sabda Nabi saw ini,
Daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, Nabi saw juga bersabda,
“Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Antara manfaat lain berpuasa 6 hari di bulan Syawal ini adalah seperti berikut :
1.Menambahbaik kekurangan berpuasa di bulan Ramadhan.
2.Amalan untuk mendekati Allah swt boleh diteruskan selepas berakhirnya bulan Ramadhan.
3.Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.

Tercapailah fungsi sebenar madrasah Ramadhan yang mahu melahirkan insan-insan yang berubah atas asas jiwanya sendiri, bukan terikat dengan suasana dan waktu. Terdapat ungkapan masyhur mengatakan ;

كن ربانيا، ولا تكن رمضانيا
” Jadilah seseorang yang beribadah kerana Allah, bukan kerana Ramadhan “

In sha Allah, banyak manfaatnya berpuasa 6 hari di bulan Syawal ini. Mari kita sama-sama melaksanakannya.

Jom klik Telegram Channel Quran darul iman untuk dapatkan info ISLAMIK menarik & LIVE bacaan Al-Mulk Setiap hari jam 10 malam : https://t.me/QuranDaruliman

“SELAMAT HARI RAYA SEMUA”

Leave a Reply

Your email address will not be published.