APA ITU ISRAK MIKRAJ YER?

PENGERTIAN ISRA” DAN MIKRAJ

1.Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. – (Surah al-Israa: ayat 1).

2. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.” – (Surah an-Najm: ayat 13-18).

3. Peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ?

Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi.

Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.

PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.

KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ

Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

  1. Baginda melihat orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.
  2. Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah.

 Ceritanya:

Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

3. Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

4. Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

5. Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

6. Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

7. Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

8.Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

9. Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

10. Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.

Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

Sumber :

https://norilajaman.blogspot.com/2012/12/pengertian-isra-dan-mikraj.html

APA KATA MUFTI UNTUK SAMBUT TAHUN BARU?

Bagi umat Islam, tahun baru mereka ialah pada awal Muharram dan pada waktu ini, mereka dianjurkan untuk membaca doa akhir dan awal tahun bagi memohon kepadaNya agar tahun yang telah dilalui diberkati dan menjadikan tahun baru lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, menjadi persoalan juga buat umat Islam, adakah mereka boleh menyambut tahun baru Masihi sama seperti tahun baru Hijrah dan meraikannya dengan melakukan beberapa aktiviti lain seperti berkumpul bersama keluarga atau mengucapkan ‘Happy New Year’ kepada kenalan?

Perbahasan Ulama Mengenai Hukum Sambutan

Ulama telah membahaskan secara lengkap mengenai hukum sambutan tahun baru ini. Terdapat dua pendapat mengenai sambutan ini, iaitu:

#1 – Haram Menyambutnya

Sambutan tahun baru kebiasaannya akan disekalikan dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh golongan bukan Islam dengan alasan untuk berseronok dan meraikan seperti konsert nyanyian, pakaian yang mendedahkan aurat dan hidangan yang haram seperti arak.

Oleh itu, sebahagian ulama seperti Al-Imam Al-Sani’ani RA mengharamkan kerana sambutan tahun baru diibaratkan seperti meniru sambutan golongan bukan Islam.

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksud: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah tergolong darinya.” (Hadis Riwayat Abdullah Ibn Umar, no. 28310)

Malah, dalam Islam, sambutan tahun baru yang sebenarnya ialah pada awal Muharram dan Baginda SAW dilihat berdoa pada waktu ini bagi meraikan tahun baru umat Islam. Tiada dalil dan riwayat yang sahih berkenaan sambutan tahun baru selain daripada tahun baru Islam.

#2 – Harus Menyambutnya

Sebahagian ulama lain seperti daripada Mazhab Syafi’e menghukumkan harus dalam sambutannya dan mengucapkan ‘selamat tahun baru’ sama ada kepada orang Islam mahupun bukan Islam.

Jika terdapat majlis sambutan tahun baru, dibenarkan juga menghadirinya selagi majlis tersebut tidak bercampur dengan perkara yang haram seperti hiburan yang melampau, hidangan yang haram dan pembaziran.

Mereka berpendapat demikian kerana penerimaan terhadap kalendar moden (Masihi) merupakan penggunaan yang digunakan pada masa kini secara meluas dalam kehidupan seharian. Tidak seperti sejarah terdahulu yang mengaitkan kalendar Masihi ini dengan agama. Kini, masyarakat menggunakannya sebagai adat semata-mata dan tiada kena-mengena dengan agama lain.

Berdasarkan sebuah kaedah Fiqhiyyah ada menyebut mengenai sesebuah hukum yang bergantung kepada adat;

العَادَةُ مُحَكّمَةٌ

Maksud: “Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.” (Al-Suyuti, Al-Ashbah wa Al-Naza’ir. hlm 89)

Kesimpulan

Tuntasnya, selagi perkara dan sambutan itu tidak mendorong atau bercampur dengan perkara yang haram dan melanggar syara’, maka tiada masalah untuk menyambut dan mengucapkan tahun baru.

Tidak menjadi kesalahan untuk menghadiri undangan sambutan tahun baru, tetapi perlu diingat akan garis panduan yang telah ditetapkan Islam seperti tidak menyambut di rumah agama lain (gereja atau kuil), tiada unsur maksiat dan pembaziran.

Adalah lebih baik untuk menyambut tahun baru dengan muhasabah kembali diri dan apa yang telah berlaku sepanjang tahun sekali gus memperbaharui azam tahun baru dengan berusaha ke arah yang lebih baik.

Semoga tahun baru yang mendatang ini akan memberikan kebaikan buat diri sendiri dan orang sekeliling dengan niat dan azam yang baik.

Wallahu a’alam.

Sumber: Mufti Wilayah

MUSLIM BOLEH SAMBUT KRISMAS TAK ?

Malaysia pada umunya hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, Agama, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

Isu menyambut sambutan atau ucapan KRISMAS juga pernah menjadi perbalahan sehingga pernah mengganggu gugat isu perkauman di Malaysia tidak lama dulu. Jadi boleh ke muslim menyambut sambutan KRISMAS dan memberi UCAPAN TAHNIAH ATAS PERAYAAN KRISMAS KEPADA Non-Muslim ini?

Rata-rata masyarakat di dunia ini hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai penganut berbeza agama. Mana kala dalam setiap agama pula mempunyai tarikh-tarikh tertentu yang dirayakan bagi memperingati sesuatu peristiwa. Keadaan yang sama berlaku dalam negara Malaysia dan beberapa buah negara di Timur Tengah.

“Christmas Day” menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulang tahun kelahiran anak Allah di muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada perselisihan pendapat pada tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri Jesus yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua perkara;

Pertama: Jesus sebagai anak Allah
kedua: Pengorbanan Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.

Persoalan: Adakah perayaan ini boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?

Jawapan: Hukum sambutan krsimas ini boleh dibahagikan kepada dua :

1.Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir:

Ulama bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas, umat Islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha.

Imam ibnu Qayyim menerangkan dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir: (TIDAK HARUS bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam Baihaqi daripada Umar bin al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada mereka”.

Imam an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’ akan tegahan daripada bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak harus.

Antara pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :

i. Sambutan tersebut menyerupai orang kafir. Pengharaman ini berdasarkan hadis baginda SAW yang bermaksud:

“Telah menceritakan kepada kami Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr, berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdurrahman bin Tsabit, berkata, telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al Jurasyi dari Ibnu Umar, ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia sebahagian dari mereka. Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum (yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka.” (Hadith ke-3512 riwayat Imam Abu Daud)

ii. Penyertaan atau menyambut perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada mereka. Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim.” (Surah al-Maidah : ayat 51)

2.Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka

Berhubung permasalahan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang membenarkan dan ada pula yang mengharamkan tindakan ini.

Imam Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi: (dan adapun ucapan tahniah terhadap  syiar yang telah dikhusukan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya)

Tetapi menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah an-Nisaa’ : ayat 86)

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah : Ayat 8)

Namun, perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan.

Kesimpulan:
Agama Islam merupakan agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :

1. Haram menyambut perayaan orang kafir disebabkan kesalahan akidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya, perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan pegangan mereka.

2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa redha dengan perayaan ini tetapi  ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah komuniti.

Yang paling penting ialah pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Surah al-Maidah : ayat 2)

Sumber :
https://www.malaysia-today.net/2013/12/23/hukum-meraikan-krismas-bagi-orang-islam/
https://perkimdk.com/perselisihan-faham-mengenai-hukum-menyambut-hari-krismas-dan-mengucapkan-merry-christmas-bagi-orang-islam/

APA PERISTIWA PADA BULAN JAMADIL AKHIR ?

Ramai yang memandang sepi bulan ini kerana tidak banyak fadhilat di dalamnya, namun, terdapat banyak peristiwa-peristiwa besar dan penting yang berlaku di dalam bulan ini sehingga ada sejarahwan berkata : “Ajaib bagi segala yang ajaib itu ialah antara Jamadi yang dua dan Rejab.”

Jamadil Akhir merupakan bulan yang ke-6 di dalam bulan-bulan Islam. Secara umumnya Jamadil Akhir (Jamada al-Akhir) membawa pengertian pengakhiran musim sejuk dan dingin. Dari segi bahasa, ‘Jumad’ bermaksud kering atau beku dan ‘Akhir’ bererti pengakhiran atau penghabisan. Bulan ini dinamakan sedemikian kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami akhir musim sejuk yang begitu dingin dan terjadi kekeringan air atau kebekuan bekalan air.

Mari kita lihat antara sejarah dan peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Jamadil Akhir dan juga mari kita kongsi bersama peristiwa-peristiwa yang lain di ruang komen untuk rujukan kita bersama

Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah:

1) Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq Meninggal Dunia

Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua menggantikan tempatnya.

2) Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua

Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah.

3) Peperangan Yarmuk

Berlakunya peperangan Yarmuk pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.

Beradab Mendengar Azan Akan Mendapat Syafaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا سَمِعْتُمْ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِي الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Dari Abdullah bin Amru bin al-Ash bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda,

“Apabila kalian mendengar muazzin (mengumandangkan azan) maka ucapkanlah seperti yang dia ucapkan, kemudian berselawatlah atasku, kerana orang yang berselawat atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat atasnya dengannya sepuluh kali, kemudian mintalah kepada Allah wasilah untukku, kerana ia adalah suatu tempat di syurga, tidaklah layak tempat tersebut kecuali untuk seorang hamba dari hamba-hamba Allah, dan saya berharap agar saya menjadi hamba tersebut. Dan barangsiapa memintakan wasilah untukku, maka ia akan beroleh syafaat.” (HR Muslim No: 577)

PENGAJARAN :

Orang yang mendengar azan yang dilaungkan oleh bilal atau muazin akan mendapat syafaat dari Rasulullah SAW. Untuk mendapat syafaat itu, kita perlu menjaga adab apabila mendengar azan, antaranya ialah:

a. Mengikut lafaz yang diucapkan oleh muazin (dengan kadar perlahan) selepas setiap lafaz.

b. Berselawat selepas azan dilaungkan (orang yang berselawat sekali, Allah akan berselawat [memberi ampun kepadanya] sebanyak 10 kali).

c. Berdoa selepas azan agar diberikanlah kedudukan dan keutamaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Marilah kita menjaga adab ketika azan dilaungkan agar kita mendapat syafaat Rasulullah SAW.

HARI KANAK-KANAK SEDUNIA 2023

Sambutan Hari Kanak-Kanak ini di Malaysia disambut pada 20 November setiap tahun.
Sejak 14 Disember 1954, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNESCO mula mengisytiharkan 20 November sebagai Hari Kanakkanak Sedunia

Sejarah Sambutan

Hari Kanak-kanak Sedunia kali pertama diisytiharkan pada tahun 1925, di Persidangan Kebajikan Kanak-Kanak Sedunia di Geneva Switzerland.

Pada awalnya, sambutan ini tidak diiktiraf secara rasmi di seluruh dunia namun pada tahun 1954, negara United Kingdom telah menggalalakkan negara lain untuk mewujudkan sambutan satu hari untuk bagi persefahaman di antara kanak-kanak dan untuk meningkatkan kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia. 

Oleh itu, Hari Kanak-Kanak Sedunia akhirnya diisytiharkan pada tahun 20 November 1959 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menerima pakai Deklarasi Hak Kanak-kanak.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Malaysia

Di Malaysia, sambutan ini kali pertama disambut pada tarikh 8 Oktober 1959 bertempat di Stadium Negara Kuala Lumpur.

Sambutan ini dijalankan sebaik sahaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengistiharkan tarikh ini sebagai hari untuk persaudaraan dan kefahaman dikalangan kanak-kanak seluruh dunia.

Deklarasi Hak Kanak-Kanak

Deklarasi Hak Kanak-kanak merupakan dokumen antarabangsa yang mengutarakan mengenai hak kanak-kanak.

Deklarasi ini pada asalnya dicadangkan oleh aktivis hak asasi manusia Eglantyne Jebb dan diterima pakai oleh Liga Bangsa-Bangsa pada 1924.

Antara perkara yang terkandung di dalam deklarasi ini adalah seperti berikut:

  • Kanak-kanak mesti diberikan cara yang diperlukan untuk perkembangan normalnya, baik dari segi material dan rohani.
  • Anak yang lapar harus diberi makan, anak yang sakit harus dirawati, anak yang mundur harus dibantu, anak yang nakal harus dinasihati, dan anak yatim dan orang tua harus diberikan perlindungan dan pertolongan.
  • Kanak-kanak mesti menjadi orang pertama yang menerima bantuan semasa kesusahan.
  • Kanak-kanak itu mesti diletakkan dalam kedudukan yang mesti dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi.
  • Kanak-kanak itu mesti dibesarkan dalam kesedaran bahawa bakatnya mesti ditumpukan kepada perkhidmatan sesama manusia.

Deklarasi penuh boleh dirujuk melalui laman web https://www.unicef.org/child-rights-convention/convention-text.

Hak Kanak-Kanak

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak mengandungi sejumlah 54 hak kanak-kanak antaranya ialah:

  • Hak untuk Hidup (Perkara 6)
  • Hak untuk memberikan pendapat mereka (Perkara 12)
  • Hak untuk mendapatkan makanan, pakaian, tempat tinggal yang selamat dan untuk memenuhi keperluan asas mereka (Perkara 27)
  • Hak untuk mendapat pendidikan (Perkara 28)
  • Hak untuk bermain dan berehat (Perkara 31)
  • Hak untuk mendapat perlindungan daripada kerja yang membahayakan mereka, dan tidak baik untuk kesihatan dan pendidikan mereka (Perkara 32)

Anak Sebagai Anugerah

Anak-anak merupakan hibah dan anugerah daripada Allah SWT sebagaimana yang difirmankan-Nya:

يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ

Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Dalam Tafsir al-Maraghiy ada menyatakan bahawa maksud anak di sini ialah anak kandung sahaja. Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Perasaan cinta seorang ayah terhadap anak lelaki lebih besar daripada anak perempuan, kerana anak lelaki dianggap penyambung zuriat, mampu mengekalkan nama dan dapat membentuk sebuah institusi keluarga yang menjadi kebanggaan masyarakat. Di samping itu, dia menjadi tempat tumpuan harapan seorang ayah dalam menjamain kehidupan mereka. Anak lelaki juga diharapkan dapat menagangkat martabat orang tuanya. Apabila anak perempuan meningkat dewasa, mereka akan berpisah dengan keluarga dan menjadi keluarga lain. Lihat Tafsir al-Maraghiy Jilid 2 (hal. 705-706)

Anak Sebagai Ujian

Allah Taala berfirman:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu”

(Surah at-Taghaabun: 15)

Dalam Tafsir al-Maraghiy telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang. Lihat Tafsir al-Maraghiy Jilid 14 (hal. 7053)

Anak Sebagai Kecintaan Jiwa Dan Syahwat

Allah Taala berfirman:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ

Maksudnya: “Dijadikan indah dalam (pandangan) manusia cinta kepada apa-apa yang diinginkan, yaitu: wanita-wanita, anak-anak”

(Surah Ali Imran: 14)

            Dalam Tafsir Ibnu Katsir telah dijelaskan bahawa kecintaan kepada anak dimaksudkan untuk kebanggaan dan sebagai perhiasan, dan hal ini termasuk ke dalam kategori (ayat) ini. Tetapi terkadang juga kecintaan pada anak itu dimaksudkan untuk memperbanyak keturunan dan memperbanyak jumlah umat Muhammad yang hanya beribadah kepada Allah; semata, yang tiada sekutu bagi Nya. Hal ini sangat terpuji, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits: “Kawinilah wanita yang dicintai (keibuan) dan yang melahirkan banyak keturunan, karena aku bangga dengan jumlah kalian yang banyak, sebagai umat yang terbanyak pada hari Kiamat kelak.”

Anak Sebagai Permata Hati

Allah Taala berfirman:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami”

(Surah al-Furqan:74)

            Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran telah menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa perasaan ingin supaya bilangan orang-orang yang berjalan kepada Allah sentiasa bertambah ramai terutama zuriat dan pasangan-pasangan hidup mereka, kerana golongan ini merupakan golongan di bawah tanggungjawab mereka paling dekat dan merupakan golongan amanah yang akan disoal kemudian hari, juga perasaan ingin agar seseorang Mu’min itu merasa bahawa dia adalah contoh teladan yang baik yang dapat diikuti oleh orang-orang yang cintakan Allah. Ini bukannya sikap mementingkan diri sendiri dan bukan pula berlagak angkuh kerana seluruh angkatan mereka berada di jalan menuju kepada Allah belaka. Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran jilid 11 (hal. 572).

Tanggungjawab ibu bapa

Antara tanggungjawab ibu bapa bukan skadar memberi makan dan pakai semata-mata tetapi sebagai manusia amat perlu melakukan lebih daripada itu. Antaranya:

  • Mendidik
  • Mengajar
  • Mengasuh
  • Memberi hak kepada mereka
  • Menyuruh solat dan beribadat atau amal makruf
  • Melarang sebarang bentuk kemungkaran atau nahi munkar

Ketahuilah anak adalah amanah Allah yang wajib kita sayang sedangkan binatang juga mengasihi anak-anaknya dengan rahmat yang Allah campakkan pada diri mereka, inikan manusia yang sepatutnya mempunyai sifat insaniatul insan, kemanusiaan yang sudah hampir malap dalam kehidupan.

Sumber : https://studentportal.my/sambutan-hari-kanak-kanak/